Wednesday, March 9, 2011

beli rumah loan 100%

KUALA LUMPUR: Golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan kini berpeluang memiliki rumah sendiri melalui Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang diperkenalkan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, skim itu dilancarkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Beliau berkata, skim itu adalah inisiatif kerajaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Cagamas Berhad dan institusi kewangan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga tanah yang tinggi di lokasi tertentu di negara ini.

“Melalui skim ini, individu terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang RM3,000 boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000.

“Ini bermakna kerajaan melalui Cagamas menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah berkenaan,” katanya berucap pada majlis perasmian SRP, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan majlis menandatangi perjanjian antara Kementerian Kewangan, bank yang terbabit dan Cagamas Berhad.
Sehingga kini, skim itu menarik penyertaan 25 institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam.

Perdana Menteri pada masa sama turut meminta institusi kewangan mempermudahkan urusan pinjaman kepada pemohon kerana walaupun ia tidak memberi keuntungan lumayan kepada mereka, namun ia amat bermakna kepada rakyat.
Najib berkata, dalam usaha mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kerajaan mengenal pasti pentingnya peningkatan kualiti hidup rakyat serta kewujudan persekitaran yang sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dengan adanya perumahan mampu milik bagi rakyat.

Menurutnya, pelancaran skim itu adalah komitmen dan sikap kerajaan yang serius untuk mempertingkatkan kualiti hidup warga Malaysia dalam merealisasikan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.


p/s ermmmmm agak2 ade lg ke rumah rege dalam 200k sekrg ni?

No comments: